Nov 15, 2010

Melaka Maju 2010: ada benda yang perlu diambil perhatian

Melaka & Negeri Sembilan: Projek tertangguh punca jalan sesak
Oleh Saadiah Ismail - Berita Harian

2010/11/14

MELAKA TENGAH: Orang ramai meminta pihak terbabit termasuk kerajaan negeri mengatasi segera masalah kesesakan di hadapan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall di Bandar Hilir yang semakin teruk kebelakangan ini. 

Kesesakan itu yang semakin menjadi-jadi pada hujung minggu atau cuti umum, dikenal pasti berpunca daripada projek menaik taraf laluan berkenaan yang dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu.

Projek berkenaan difahamkan bertujuan menjadikan laluan terbabit lebih luas dan menarik, selain bagi mewujudkan pusat tumpuan baru yang dikenali sebagai Pahlawan Walk, menyamai konsep Bintang Walk di ibu negara.
Tinjauan Berita Harian ke tapak projek ini, selepas menerima aduan dari orang ramai mendapati ada kebenaran dakwaan itu. Selain jalan sentiasa sesak, projek itu juga didapati seperti sudah tertangguh sejak beberapa lama. 

Beberapa pengunjung yang ditemui sependapat masalah berkenaan perlu diatasi segera, jika tidak mahu kesesakan luar biasa berlaku di situ berterusan sehingga mengganggu kehidupan penduduk dan aktiviti perniagaan di kawasan sekitarnya. 

Penduduk, Ahmad Sadiman, 54, berkata, masalah kesesakan di laluan itu perlu ditangani segera bagi mengelak ia bertambah teruk sehingga menghalang orang ramai memasuki kawasan berkenaan untuk membeli-belah atau melancong. 

Katanya, berdasarkan pengalamannya, kesesakan teruk hanya berlaku pada waktu tengah hari pada hari biasa kerana ramai yang ingin mengambil anak pulang daripada sekolah, manakala waktu petang pula disebabkan orang ramai pulang dari tempat kerja. 
"Dulu, jalan itu hanya ada dua lorong tetapi apabila ia menjadi empat lorong, keadaan kesesakan masih sama. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat menyiapkan projek ini dengan segera kerana lebih lama masa diambil, lebih lama kami sebagai pengguna terpaksa menghadapi kesesakan ini," katanya. 

Luke Lim, 27, pula berkata beliau tidak mengetahui langsung tujuan sebenar laluan sedia ada diubah daripada dua lorong kepada empat lorong, selain keadaannya yang sudah terbengkalai sejak beberapa hari lalu. 

"Saya tidak tahu selepas ini apakah kesan yang akan berlaku, sama ada dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas atau tidak. Saya cuma berharap, pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan projek itu kerana ia akan mencacatkan pemandangan kawasan ini," katanya. 

Pemandu bas pelancong dari Johor, Mohd Shahril Ezani, 25, berkata, masalah kesesakan di hadapan Dataran Pahlawan Melaka Megamall itu perlu ditangani segera kerana Melaka adalah negeri pelancongan yang sentiasa dikunjungi ramai. 

Katanya, masalah itu bukan saja berlaku di situ, malah hampir kebanyakan jalan masuk ke pusat bandaraya sehingga menimbulkan rasa marah dan kecewa pengunjung termasuk pelancong yang dibawanya. 

"Projek menaik taraf jalan di depan Dataran Pahlawan yang sedang dilaksanakan ini perlu disegerakan supaya dapat disiapkan. Jangan biarkan orang ramai merungut setiap kali hendak masuk ke sini kerana terperangkap lama dalam kesesakan jalan raya," katanya. 

0 komentar:

Post a Comment

sila la comment..jangan malu jangan segan..because sharing is caring..and caring is for ALLAH..:)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More