Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Nov 19, 2010

Erti Pengorbanan..bagaimana manifestasi cinta kita kepadaNya



Insyallah pada hari Eidul-Adha yang mulia ini, kita akan bersama-sama melaungkan kalam kebesaran Allah SWT dengan kita sama-sama melafazkan kalimah takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran serta keinsafan kepada Pencipta kita.

Eidul-Adha ini acapkali dikenali dengan Hari Raya Korban, kerana umat Islam dituntut supaya melakukan ibadah korban demi mendekatkan diri kepada Allah SWT, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s di mana, Allah SWT memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s ; suatu perintah yang amat sukar dilaksanakan mengikut adat dan fitrah semulajadi manusia yang mempunyai sifat penyayang ; ditambah pula dengan darah daging sendiri.

Namun sejarah membuktikan, Nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah Allah SWT ini dengan penuh keyakinan dan ketabahan hati serta keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Hal ini seharusnya dicontohi umat hari ini khususnya di kalangan belia dan mahasiswa kita hari ini.

Allah SWT juga merekodkan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembelih anaknya itu adalah sebagai salah satu ujian yang amat-amat sukar, menguji kekuatan mental, fizikal, emosi serta keimanan Nabi Ibrahim a.s berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah As-Saffat ayat 106-107:

Maksudnya: "sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas)”.

Sewajarnya kisah kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua nabi ini menjadi ikutan dan tauladan kepada kita umat Islam hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT. Malangnya apakah yang sedang berlaku hari ini?. Manusia semakin hari kelihatannya semakin jauh daripada petunjuk Allah. Manusia semakin hari semakin meragui kekuasaan dan kebesaran Allah. Apakah manusia lupa, suatu hari nanti mereka akan menemui allah dalam keadaan sendiri-sendiri dan dibangkitkan semula dari kuburnya. Kerana kealpaan inilah, manusia lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap Tuhannya.



lembu-lembu yang siap siaga untuk dikorbankan..:)

Nov 15, 2010

celik tapi 'buta', sape ek?

Kenapa orang x pernah nampak apa yang bakal kekal..?
orang x nampak syurga,
orang x nampak neraka,
orang x nampak padang mahsyar,
orang x nampak azab, 
orang x nampak pahala,
orang x nampak dosa,
kenapa?
agak2 orang tu xpakai spek kot,
mungkin juga orang tu tutup mata,
x..
pada zahirnya,
orang tu nampak,
penglihatannya normal,
tapi kenapa dia x nampak?
sebab syurga xde depan mata,
kalau adapun,
kita tak tahu,
apa yang kita wat ni masuk neraka ke?
lagipun mak x ajar,
cikgu x ajar,
biasanya mak ayah ajar,
p sekolah belajar ABC, 
nti pandai baca boleh masuk U,
nti dah abih U dapat kerja best,
dapat nolong mak ayah yang makin tua.
mak ayah jarang ajar,
p sekolah belajar,
nti pandai boleh guna akal dengan betul,
mak ayah jarang ajar,
hidup kita ni bukan kekal di sini,
mak ayah jarang ajar,
pasal syurga,
mak ayah jarang ajar,
bagaimana cara nak masuk syurga,
kalau ajar pun,
sikit2 je,
tu pun masuk telinga kiri, 
keluar telinga kanan.
Nak salah kan mak ke..?
kalau kita x tutup aurat?
nak salah kan ayah ke..?
kalau kita buat jahat,
nak salah kan mak ke..?
kalau kita langsung x ingat Allah,
nak salah kan ayah ke..?
kalau semua kerja kita lakukan bukan sebab Allah,
aduyai,
malas nyer nak fikir pasal benda2 gini?
nak salah kan mak ayah ke?
nanti la,
esok2 aku fikir lah,
mana tahu esok ajal kita?
nti jangan salahkan Allah,
kalau Allah amik nyawa kita awal,
Allah dah bagi akal free,
tapi kita x nak guna dengan betul..
ataupun memang xde dalam otak langsung pasal benda ni..?
hidup macam hidup ni hanya kat dunia je,
x tahulah akhirat tu apa?
x tahu hidup ni untuk apa,
x tahu dan malas nak tahu..
xpe2,
nti jawablah dengan Allah sendiri2,
Allah dah bagi dunia untuk cari dan kenal Allah,
tapi kita langsung x nak kenal Allah,
tunggu la nti,
saat nyawa kat kerongkong,
baru kita tahu,
siapa kita di sisi Allah...
so, siapa yang buta sekarang nih..?
orang buta ke?
manusia yang nampak tapi buta?

"Setiap yang bernyawa, pasti akan menemui ajal" (Al-Quran)
"Manusia paling cerdik dalam kalangan kamu adalah mereka yang banyak mengingati mati"(Hadis)

Nov 10, 2010

Hub Hiburan Malam


oleh:
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad**


Semua manusia sukakan hiburan.Kehidupan jika dijalani hanya dengan penuh tekanan dan sengsara pasti merumitkan.Oleh kerana itu manusia perlu dihiburkan hatinya dan pastinya hiburan itu mestilah selaras fitrah penciptaan manusia agar benar-benar manusia itu mendapat kebahagiaan dan ketenangan hidup.
Mendengar berita keinginan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam membuatkan saya tertanya-tanya,apakah rakyat Malaysia masih tidak cukup dengan hiburan yang sedia ada dan bentuk hiburan yang bagaimanakah yang ingin diwujudkan demi kelangsungan industri pelancongan negara?
Adakah hub hiburan yang ingin diwujudkan nanti mampu bebas dari arak,judi,dadah,pelacuran dan 1001 perkara negatif pencetus bencana akhlaq masyarakat keseluruhannya? dan yang paling penting sekali, adakah lenggok hiburan itu menepati kehendak syarak..?
Ketika membahaskan Surah Al-Muminun,Buya HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar mengatakan:-
Kadang-kadang kehidupan orang seorang dapatlah disimpulkan kepada tiga kalimat saja:Lahir,Menangis dan Mati
Begitulah gambaran singkatnya kehidupan dunia ini yang menuntut manusia supaya memanfaatkan setiap detik kehidupannya dengan amal perbuatan yang berfaedah dan bukan sekadar untuk berhibur semata-mata.
Benarlah apa yang diungkapkan oleh syair penyair SAMADI Almarhum Anwar Rasyid yang turut dipetik oleh HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar tersebut:-
Lahir ke dunia disambut ebang,pulang ke kubur diantar shalat,
Antara azan dengan sembahyang,wahai hidup alangkah singkat
Hiburan melampau-budaya hedonisme yang diagungkan oleh kelompok yang tidak menemui hakikat kewujudan dan falsafah  kehidupannya hanya menjatuhkan martabat seseorang seolah-olah dunia ini dicipta hanya sekadar untuk berhibur siang dan malam semata-mata.Tidak cukup pada waktu siang,waktu malam juga mahu disia-siakan dengan hiburan melampau.
Malaysia yang terkenal dengan hub halalnya pasti terjejas imejnya sekiranya hub hiburan yang bakal diwujudkan nanti tidak menepati ciri halal.Apakah halal pada tanggapan kita sekadar halal pada hal ehwal makanan semata-mata dan hal-hal lain bebas untuk kita harungi tanpa mempedulikan halal haramnya?
Industri pelancongan dan pemerkasaan ekonomi negara dengan perniagaan yang jelas haram pastinya tidak berkat bahkan mampu meruntuhkan kekuatan ekonomi itu sendiri.
Apa jua alasan yang diberikan samada demi kepentingan ekonomi negara sekalipun kita tetap perlu lebih berhati-hati dalam membangunkan masyarakat dan negara dengan mengelakkan sesuatu yang boleh meruntuhkan adab dan akhlak masyarakat.
**Penulis merupakan Exco Pendidikan dan PenyelidikanPersatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.Graduan ijazah jabatan Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Universiti Malaya.

"BERHIBUR TIADA SALAHNYA KERNA HIBURAN ITU INDAH, HANYA PABILA SALAH MEMILIHNYA MEMBUAT KITA JADI BERSALAH.."    -raihan-

Aug 23, 2010

PADA RAMADAN INI…



Dipetik dari blog Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Ramadan ini akan pergi..

Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya
(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)
Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri
(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)
Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan
(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)

Aug 16, 2010

TANDA-TANDA MALAM AL QADAR…

Kata orang lihat pada sebelah paginya – tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!” Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat. 
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.
Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…
Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.

Nov 9, 2009

Ayat Seribu Dinar..


Ayat seribu dinar biasanya dikenali sebagai pelaris atau pemurah rezeki.
Ramai peniaga yang mengantung ayat ini di permis perniagaan agar perniagaannya maju.
Ramai juga yang membacanya setiap hari agar rezeki bertambah.
Keberhasilan murah rezeki bukan hanya pada menggantung ayat ini, juga bukan hanya pada membacanya, tetapi pada MENGAMALKAN kandungan ayat ini.

*Ayat Seribu Dinar adalah ayat suci Al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq, dari ayat dua dan tiga
















Terjemahannya :
Barangsiapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Oct 31, 2009

CINTA ALLAH DAN RASUL IKUTILAH SUNNAH




Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-‘Imran, ayat 31)


Kata al-Hafizd Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hak ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih al-Bukhari daripada RasululLah s.a.w : Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim)

Pendidikan: Misi utama Rasulullah

Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.

Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.

Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)

Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.


*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.


*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.


*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.


*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.


*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More