Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Nov 15, 2010

Melaka Maju 2010: ada benda yang perlu diambil perhatian

Melaka & Negeri Sembilan: Projek tertangguh punca jalan sesak
Oleh Saadiah Ismail - Berita Harian

2010/11/14

MELAKA TENGAH: Orang ramai meminta pihak terbabit termasuk kerajaan negeri mengatasi segera masalah kesesakan di hadapan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall di Bandar Hilir yang semakin teruk kebelakangan ini. 

Kesesakan itu yang semakin menjadi-jadi pada hujung minggu atau cuti umum, dikenal pasti berpunca daripada projek menaik taraf laluan berkenaan yang dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu.

Projek berkenaan difahamkan bertujuan menjadikan laluan terbabit lebih luas dan menarik, selain bagi mewujudkan pusat tumpuan baru yang dikenali sebagai Pahlawan Walk, menyamai konsep Bintang Walk di ibu negara.
Tinjauan Berita Harian ke tapak projek ini, selepas menerima aduan dari orang ramai mendapati ada kebenaran dakwaan itu. Selain jalan sentiasa sesak, projek itu juga didapati seperti sudah tertangguh sejak beberapa lama. 

Beberapa pengunjung yang ditemui sependapat masalah berkenaan perlu diatasi segera, jika tidak mahu kesesakan luar biasa berlaku di situ berterusan sehingga mengganggu kehidupan penduduk dan aktiviti perniagaan di kawasan sekitarnya. 

Penduduk, Ahmad Sadiman, 54, berkata, masalah kesesakan di laluan itu perlu ditangani segera bagi mengelak ia bertambah teruk sehingga menghalang orang ramai memasuki kawasan berkenaan untuk membeli-belah atau melancong. 

Katanya, berdasarkan pengalamannya, kesesakan teruk hanya berlaku pada waktu tengah hari pada hari biasa kerana ramai yang ingin mengambil anak pulang daripada sekolah, manakala waktu petang pula disebabkan orang ramai pulang dari tempat kerja. 
"Dulu, jalan itu hanya ada dua lorong tetapi apabila ia menjadi empat lorong, keadaan kesesakan masih sama. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat menyiapkan projek ini dengan segera kerana lebih lama masa diambil, lebih lama kami sebagai pengguna terpaksa menghadapi kesesakan ini," katanya. 

Luke Lim, 27, pula berkata beliau tidak mengetahui langsung tujuan sebenar laluan sedia ada diubah daripada dua lorong kepada empat lorong, selain keadaannya yang sudah terbengkalai sejak beberapa hari lalu. 

"Saya tidak tahu selepas ini apakah kesan yang akan berlaku, sama ada dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas atau tidak. Saya cuma berharap, pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan projek itu kerana ia akan mencacatkan pemandangan kawasan ini," katanya. 

Pemandu bas pelancong dari Johor, Mohd Shahril Ezani, 25, berkata, masalah kesesakan di hadapan Dataran Pahlawan Melaka Megamall itu perlu ditangani segera kerana Melaka adalah negeri pelancongan yang sentiasa dikunjungi ramai. 

Katanya, masalah itu bukan saja berlaku di situ, malah hampir kebanyakan jalan masuk ke pusat bandaraya sehingga menimbulkan rasa marah dan kecewa pengunjung termasuk pelancong yang dibawanya. 

"Projek menaik taraf jalan di depan Dataran Pahlawan yang sedang dilaksanakan ini perlu disegerakan supaya dapat disiapkan. Jangan biarkan orang ramai merungut setiap kali hendak masuk ke sini kerana terperangkap lama dalam kesesakan jalan raya," katanya. 

Jul 29, 2010

karatnya emas..









DI SEBALIK bangunan tiga tingkat yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya sebenarnya tersimpan ragam kesibukan aktiviti jual beli emas.
Menariknya, situasi itu bukannya menyaksikan jual beli barang kemas seperti gelang tangan, rantai atau anting-anting.
Sebaliknya, mereka menjalankan proses mendapatkan kepingan kilauan emas tulen berharga.
Bagaimanapun, premis yang terletak di tingkat tiga itu tidak sewenang-wenangnya dikunjungi. Anda perlu membuat temu janji khas dengan kaki tangan Public Gold supaya pagar besi utama akan dibuka.
"Sebagai langkah keselamatan, tempat kami mempunyai pengawasan yang ketat. Mereka yang ingin mendapatkan kepingan emas perlu berhadapan dengan tiga rintangan pagar besi yang dibuka secara automatik.
"Di Public Gold, mereka boleh melihat skrin paparan harga emas dunia sebagai petunjuk untuk membeli atau menjual," terang Eksekutif Pemasaran Public Fine Gold International Sdn. Bhd., Wilson Tan.
Bercerita mengenai kehebatan emas, masyarakat masa kini mula membuka minda untuk membuat pelaburan baru. Tidak lagi memfokuskan kepada penyimpanan wang semata-mata, trend pembelian kepingan emas kian popular dan mendapat sambutan.
Bahkan segelintir bakal pengantin turut memilih dinar emas sebagai hantaran mas kahwin kerana barangan berharga itu merupakan komoditi yang mempunyai nilai yang tinggi.
Meskipun tertanam beribu-ribu tahun, emas tetap berkilau dan merupakan aset paling bernilai. Emas boleh dibeli sama ada dalam bentuk syiling atau keping dari bank-bank perdagangan.
Selain itu, perbezaan yang dinilai di antara pelaburan ketulan emas dan barang kemas ialah dari segi tawaran peratusan.
"Emas keping dan emas syiling lebih tinggi nilainya iaitu 999.9 peratus berbanding emas yang telah dilebur untuk dijadikan barang kemas pula 91.6 peratus," beritahunya.

KETULENAN emas boleh diuji sebelum bersetuju untuk membeli.



Sementara itu, Pengedar Utama Public Gold, Syukor Hashim menjelaskan, Public Gold yang mendapat kelulusan dari Bank Negara menawarkan perkhidmatan jual beli emas 999.9 atau 24 karat untuk pelaburan yang selamat dan murah.
Dari segi kiraan nilai pula, Public Gold menawarkan empat produk kepingan emas 20 gram (g), 50 g, 100 g dan satu kilogram (kg).
"Harga yang dinyatakan setiap gram adalah dalam ringgit. Harganya juga sentiasa berubah-ubah, jadi mereka yang berminat lazimnya akan sentiasa memantau harga dunia.
"Orang ramai diberi kebebasan untuk membeli seberapa banyak ketulan emas bergantung kepada kemampuan masing-masing," terangnya.
Menceritakan pengalamannya menjalankan jual beli emas sepenuh masa, Syukor mendapat pendedahan awal menerusi program The Truth Revealed: Dinar and Dirham The Real True Money sejak dua tahun lalu.
Konsep kekayaan
Bermula dari situ, dia mula mengerti mengenai konsep wang dan kekayaan sebenar. Syukur banyak membuat kajian melalui pembacaan dan rujukan.
"Saya menyedari bahawa kekayaan yang sebenar bukanlah terletak pada wang kertas. Tetapi emas, perak, hartanah, ternakan dan tanam-tanaman.
"Wang kertas boleh dimanipulasikan dan boleh dicetak sebanyak mungkin sekali gus nilainya akan hilang," terangnya bersungguh-sungguh.
Bagi salah seorang kakitangan swasta, Ahmad Fithrie Ahmad Tajalie, 31, pelaburan pertama yang dikeluarkannya tahun lalu sejumlah RM38,000 untuk memiliki beberapa ketulan emas peribadi.
Disebabkan emas mempunyai nilai tinggi, dia lebih berminat untuk menambah koleksi ketulan emas untuk simpanan masa hadapan.
"Kepuasan memiliki dan menyentuh sendiri ketulan emas memang tidak dapat digambarkan. Itu yang membuatkan saya lebih berminat untuk mengumpulnya.
"Petuanya ialah bila sudah beli emas, simpan sahaja emas itu tetapi bila memerlukan dana kewangan barulah ia dijual. Lebih bagus jika ia dijual ketika harganya tinggi. Semakin lama emas itu disimpan, harganya juga semakin mahal," jelasnya.

EMAS Public Gold memaparkan cap mohor syarikat terbabit.



Seperti yang diperuntukkan oleh hukum syarak, mas kahwin merupakan pemberian wajib daripada seorang lelaki kepada bakal isterinya. Ia boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan kemampuan pasangan terbabit.
Lazimannya mas kahwin disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin atau gelang tangan. Namun, kini syiling dinar emas telah mendapat sambutan menggalakkan sebagai mas kahwin untuk majlis perkahwinan.
Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerima persetujuan menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh.
Mas kahwin
Dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah dan cetakan ayat suci al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia berasaskan agama.
Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun lalu, Wan Azmir Wan Mohamad dan Nadiah Abd. Rahman turut menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin mereka.
Masing-masing yang berusia 27 tahun menyifatkan, keputusan untuk menggunakan dinar emas kerana ingin mengembalikan tradisi masyarakat Islam yang sekian lama ditinggalkan.
"Pengetahuan penggunaan dinar emas ini dibuat setelah saya membuat sedikit rujukan pembacaan mengenainya. Dari situ saya dapati dinar emas mempunyai nilai yang semakin meningkat.
"Malah bentuknya yang cukup unik dan dinar emas juga cantik untuk disimpan. Berbeza dengan wang simpanan wang, ia mungkin tidak akan kekal lama," jelas Wan Azmir Wan Mohamad yang menyempurnakan mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emasseberat 4.25 gram (22 karat) bernilai RM502 (kini bernilai RM570 tertakluk pada harga semasa
Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid berkata, dinar emas digunakan sebagai alat pertukaran mata wang paling selamat sekiranya berlaku ketidakstabilan politik dan pasaran. Dinar emas mempunyai nilai yang tetap dan boleh dijadikan simpanan tanpa memikirkan kehilangan nilai dan kuasa beli seperti wang kertas.
Pelaksanaan secara konkrit dengan susulan cadangan yang lebih serius perlu dijalankan supaya negara dapat menggunakan dinar emas dengan lebih menyeluruh.
"Skop penggunaan dinar emas sebenarnya amat luas kerana ada yang gemar menjadikan dinar emas sebagai koleksi aset yang kalis inflasi. Dinar emas berbentuk syiling juga sebagai medium pertukaran yang sah. Tetapi sejauh manakah masyarakat kita berminat menggunakannya seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya.

Jul 28, 2010

Anda percaya 'Paul si sotong', anda silap!

Presiden Iran bidas pihak pergunakan Paul




GAMBAR fail menunjukkan Paul di Akuarium Sea Life.




TEHERAN - Sotong yang popular kerana membuat ramalan perlawanan bola sepak Piala Dunia, Paul dikecam oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sebagai simbol keruntuhan yang dikaitkan dengan negara-negara Barat, lapor sebuah akhbar semalam.
Paul menjadi terkenal setelah ia meramalkan dengan tepat lapan perlawanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan baru-baru ini.
Sotong tersebut membuat ramalan dengan memilih satu daripada dua bekas berisi makanan dengan setiap satunya mempunyai bendera negara yang bertanding.
Bagaimanapun, menurut Mahmoud, perbuatan penduduk negara-negara di Barat yang menjadikan haiwan laut tersebut sebagai pak nujum menggambarkan keruntuhan dan kemerosotan tamadunnya.
Pemimpin Iran berkenaan menuduh Paul bertanggungjawab menyebarkan propaganda Barat dan khurafat.
"Mereka yang percaya dengan perkara seperti ini (khurafat) tidak boleh menjadi pemimpin global," katanya pada satu ucapan di sini.
Kemarahan Mahmoud terhadap Paul bagaimanapun tidak setanding dengan sesetengah penyokong Jerman yang mahu menjadikan sotong berkenaan sebagai makanan laut kerana haiwan itu meramalkan dengan tepat kekalahan Jerman kepada Sepanyol pada separuh akhir kejohanan berkenaan.
Paul hidup di Akuarium Sea Life di Jerman. - Agensi

Jan 15, 2010

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah


Oleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.
Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.
Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan.Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!
Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.
Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.
Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;
  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.
  1. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
  1. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.
  1. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.
  1. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.
  1. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.
Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

Jangan Biar Kesucian Nama Allah Dipermainkan


sumber dari www.iluvbadar.blogspot.com
Oleh Abu huzaifah Nawawi bin subandi

Beberapa hari yang lalu ada orang menelefon, bertanyakan kepada saya berkenaan persoalan bolehkah kita membiarkan orang kristian dan orang kafir lainnya menggunakan nama Allah untuk agama mereka?

Saya katakan kepada beliau, saya tangguh dulu persoalan tersebut dan apabila saya sudah selesai meneliti beberapa bahan rujukan, saya akan tuliskannya di dalam blog dan saya akan sms kepada beliau agar boleh merujuk ke dalam blog ini.

Maka di sini setelah saya melihat kepada beberapa sumber rujukan termasuk bertanyakan kepada ustaz-ustaz dan beberapa orang sahabat, saya senaraikan (simpulkan) beberapa jawaban secara ringkas:

1 – Perlu kita fahami bahawa, Allah adalah Tuhan Semesta alam, Tuhan bagi setiap makhluk. Maka, secara umumnya, setiap kita wajib dan berhak memperakui serta mengimani (mengakui) bahawa Allah adalah tuhan kita semua. Dengan itu, kita wajib meletakkan (memperakui) Allah sebagai tuhan. Orang-orang kafir juga perlu memahami bahawa Allah adalah tuhan semesta alam.

2 – Dari itu, adalah dibolehkan orang kristian atau orang kafir menggunakan kalimah atau nama Allah. Dan hendaklah mereka menggunakan (atau meletakkan) nama Allah tersebut dengan cara yang selayaknya iaitu dengan tidak menyelewengkan nama tersebut. Hendaklah nama (kalimah) Allah itu disifatkan atau diletakkan (ditetapkan) dengan apa yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapkan melalui kalam-Nya atau melalui lisan Rasul-Nya.

3 – Nama Allah hendaklah disucikan dari sebarang penyelewengan dan tidak disifatkan dengan sifat yang tidak layak bagi-Nya iaitu tidak disifatkan dengan sifat yang tidak Dia tetapkan sama ada melalui khabar dari al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Juga tidak menisbahkan sesuatu kepada nama atau kalimah Allah dengan sesuatu yang telah Allah nafikan atau dengan sesuatu yang tidak diketahui (yang kita tiada pengetahuan tentangnya).

4 – Nama Allah tidak digunakan bagi tujuan manipulasi dan kepentingan tertentu seperti mempromosi agama yang sesat iaitu selain Islam. Di mana pada masa ini terdapat sekumpulan pihak yang menggunakan nama Allah bagi tujuan menyesatkan umat Islam dengan cara yang cukup halus iaitu dengan meletakkan nama “Tuhan ayah” (God Father) digantikan dengan nama (kalimah) Allah. Lalu bahan-bahan seperti tulisan, atau artikel, atau buku yang mengandungi penyelewengan nama Allah (yang asalnya God Father tadi) disebarkan sebagai bahan dakyah untuk menyesatkan (mengelirukan) pemahaman umat Islam.

5 – Namun jika mereka (orang-orang kafir termasuk kristian) tetap berkeras mahu menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil (menyimpang), maka perkara tersebut adalah terserah kepada mereka. Cumanya ia hendaklah terhad untuk kegunaan dari kalangan (kelompok) mereka sahaja. Di mana mereka tidak boleh menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil bagi tujuan sebaran umum atau sebagai tujuan untuk mengajak masyarakat kepada agama mereka.

6 – Perlu kita fahami bahawa, sekali-kali kita tidak pernah redha dengan agama mereka termasuklah perbuatan mereka menggunakan nama Allah dengan cara yang menyimpang (batil).

7 – Maka dengan ini, pihak berkuasa dari kalangan pemerintah umat Islam (di dalam negara Islam) atau mereka yang ber-autoriti, perlulah mengambil penting perkara ini dan melarang pihak-pihak tertentu yang mempermain-mainkan (atau mempergunakan) nama Allah bagi tujuan menjaga keharmonian dan kelangsungan umat Islam. Pihak selain umat Islam seperti kumpulan kristian atau orang-orang kafir lainnya tidaklah wajar mempergunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan dakwah mereka. Dan mereka tidak berhak untuk mendakwahkan kepercayaan mereka secara umum sama ada kepada umat Islam atau masyarakat lainnya di dalam wilayah Islam khususnya.

8 – Pihak yang berkelayakan dari kalangan ilmuan dari umat Islam hendaklah memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada masyarakat secara umum sama ada kepada umat Islam itu sendiri mahu pun orang kafir lainnya. Para ilmuan hendaklah memberi penekanan khususnya kepada umat Islam berkenaan persoalan pentingnya penerapan kefahaman aqidah yang benar. Dan hendaklah para ilmuan tidak membiarkan umat Islam meremehkan persoalan asas-asas aqidah sehingga mereka mudah termakan dengan kepelbagaian bentuk dakyah orang-orang kafir seperti kristian (atau selainnya).

Rujukan:

1 – Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Terbitan/terjemahan: Pustaka at-Tibyan.

2 – Kitab Tauhid, Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, Terbitan/terjemahan: Pustaka Darul Haq.

3 – Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan/terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir.

4 – Rakaman Kuliah (MP3) Ust. Rasul Dahri.

5 – Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama dan Sifat Allah), Link: http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/12/090-ringkasan-kaedah-kaedah-penting.html


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More