May 14, 2009

KONVENSYEN BERAKHIRNYA AGENDA ZIONIS..9 MEI 2009

email dari Mohd Khoushaini Mohd Naim

Isu Palestin Terus Dijulang



Kuala Lumpur, 9 Mei – Usaha memperjuangkan isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia kini melalui dimensi yang baru dengan penganjuran 'Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis' hari ini. Syabas diucapkan kepada Aman Palestin Berhad dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) atas kejayaan membawa agenda ummah ini ke pentas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Konvensyen ini adalah manifestasi keyakinan dan kesatuan umat Islam dalam berhadapan dengan agenda musuh yang sedang munuju detik-detik kehancuran. Demikian tegas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Pengerusi Aman Palestin dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), semasa berucap di hadapan lebih 3000 peserta yang hadir dari seluruh pelosok tanahair.

Majlis perasmian 'Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis' ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dr Juanda bin Jaya, Mufti Negeri Perlis. Beliau juga sempat merakamkan penghargaan kepada Aman Palestin dan PEMBINA atas inisiatif untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan belia akan kepentingan Palestin di sisi umat Islam.



Kesungguhan pihak penganjur terbukti dengan kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa dalam isu Palestin ini iaitu Dr. Mohsen Saleh (Pengarah Institute of Islamic Political Thought, London), Dr. Azzam al-Tamimi (Pengarah Besar, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Az-Zaytouna, Lubnan) dan Dr. Roslan bin Mohd Nor (Penerima Anugerah Akademik Institut Al-Makhtoum 2003 & 2006, PhD in ‘Islamic Jerusalem Studies’, Aberdeen University Scotland). Pembentangan kertas kerja yang cukup menarik dan informatif membuatkan para hadirin enggan berganjak dari tempat duduk masing-masing sehinggalah ke petang.


baca lanjut di: http://ismaweb.net/v2/Article1023.html


Bantu Palestin secara berterusan

KUALA LUMPUR 9 Mei - Segala tindakan bertujuan membantu rakyat Palestin perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim kerana penindasan Zionis ke atas mereka tidak pernah berhenti.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, sebagai contoh langkah memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang sepatutnya diperhebat serta dipromosikan sehingga sekarang.

Beliau berkata, usaha tersebut sebenarnya merupakan salah satu bentuk jihad kerana ia adalah tanda sokongan umat Islam negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman rejim Zionis.

''Makna jihad ialah berusaha bersungguh-sungguh dan orang yang mahu berjihad tidak semestinya mengangkat senjata.

''Salah satunya ialah dengan memberi bantuan sama ada dalam bentuk material atau memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Konvensyen sehari itu dianjurkan oleh Aman Palestin Berhad dan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina).

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan Presiden Pembina, Kamil Azmi Tohiran.

Konvensyen itu berjaya menarik minat 3,000 belia dari seluruh negara untuk bersama-sama menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Dalam perkembangan sama Juanda berkata, beliau percaya jika sesuatu tindakan atau kempen itu dilakukan secara berterusan, masyarakat akan sentiasa ingat terhadap penderitaan rakyat Palestin

Selain boikot, beliau berkata, membaca doa khusus untuk rakyat Palestin setiap kali imam membaca khutbah Jumaat adalah salah satu bentuk sokongan yang harus dilakukan secara berterusan.

''Di Perlis, semua masjid pada setiap Jumaat dikehendaki membaca doa khusus untuk rakyat Palestin. Kami berdoa pada Allah agar mereka satu hari nanti bebas daripada cengkaman Zionis.

''Kami berasa bertanggungjawab untuk berdoa kerana kebanyakan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis adalah di kalangan saudara seagama,'' katanya.

Sementara itu Abdullah Zaik berkata, pihaknya akan sentiasa menggerakkan usaha untuk memberi kesedaran khususnya di kalangan generasi muda mengenai isu Palestin.

''Kita perlu menyatakan kepada mereka yang kita tentang ini ialah puak zionis dan bukan bangsa Yahudi. Zionis yang kita maksudkan ini ialah kerajaan Israel.

''Langkah itu penting supaya mereka tidak terkeliru dengan isu yang melibatkan rakyat Palestin,'' tambahnya.

0 komentar:

Post a Comment

sila la comment..jangan malu jangan segan..because sharing is caring..and caring is for ALLAH..:)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More