Jan 15, 2010

Jangan Biar Kesucian Nama Allah Dipermainkan


sumber dari www.iluvbadar.blogspot.com
Oleh Abu huzaifah Nawawi bin subandi

Beberapa hari yang lalu ada orang menelefon, bertanyakan kepada saya berkenaan persoalan bolehkah kita membiarkan orang kristian dan orang kafir lainnya menggunakan nama Allah untuk agama mereka?

Saya katakan kepada beliau, saya tangguh dulu persoalan tersebut dan apabila saya sudah selesai meneliti beberapa bahan rujukan, saya akan tuliskannya di dalam blog dan saya akan sms kepada beliau agar boleh merujuk ke dalam blog ini.

Maka di sini setelah saya melihat kepada beberapa sumber rujukan termasuk bertanyakan kepada ustaz-ustaz dan beberapa orang sahabat, saya senaraikan (simpulkan) beberapa jawaban secara ringkas:

1 – Perlu kita fahami bahawa, Allah adalah Tuhan Semesta alam, Tuhan bagi setiap makhluk. Maka, secara umumnya, setiap kita wajib dan berhak memperakui serta mengimani (mengakui) bahawa Allah adalah tuhan kita semua. Dengan itu, kita wajib meletakkan (memperakui) Allah sebagai tuhan. Orang-orang kafir juga perlu memahami bahawa Allah adalah tuhan semesta alam.

2 – Dari itu, adalah dibolehkan orang kristian atau orang kafir menggunakan kalimah atau nama Allah. Dan hendaklah mereka menggunakan (atau meletakkan) nama Allah tersebut dengan cara yang selayaknya iaitu dengan tidak menyelewengkan nama tersebut. Hendaklah nama (kalimah) Allah itu disifatkan atau diletakkan (ditetapkan) dengan apa yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapkan melalui kalam-Nya atau melalui lisan Rasul-Nya.

3 – Nama Allah hendaklah disucikan dari sebarang penyelewengan dan tidak disifatkan dengan sifat yang tidak layak bagi-Nya iaitu tidak disifatkan dengan sifat yang tidak Dia tetapkan sama ada melalui khabar dari al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Juga tidak menisbahkan sesuatu kepada nama atau kalimah Allah dengan sesuatu yang telah Allah nafikan atau dengan sesuatu yang tidak diketahui (yang kita tiada pengetahuan tentangnya).

4 – Nama Allah tidak digunakan bagi tujuan manipulasi dan kepentingan tertentu seperti mempromosi agama yang sesat iaitu selain Islam. Di mana pada masa ini terdapat sekumpulan pihak yang menggunakan nama Allah bagi tujuan menyesatkan umat Islam dengan cara yang cukup halus iaitu dengan meletakkan nama “Tuhan ayah” (God Father) digantikan dengan nama (kalimah) Allah. Lalu bahan-bahan seperti tulisan, atau artikel, atau buku yang mengandungi penyelewengan nama Allah (yang asalnya God Father tadi) disebarkan sebagai bahan dakyah untuk menyesatkan (mengelirukan) pemahaman umat Islam.

5 – Namun jika mereka (orang-orang kafir termasuk kristian) tetap berkeras mahu menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil (menyimpang), maka perkara tersebut adalah terserah kepada mereka. Cumanya ia hendaklah terhad untuk kegunaan dari kalangan (kelompok) mereka sahaja. Di mana mereka tidak boleh menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil bagi tujuan sebaran umum atau sebagai tujuan untuk mengajak masyarakat kepada agama mereka.

6 – Perlu kita fahami bahawa, sekali-kali kita tidak pernah redha dengan agama mereka termasuklah perbuatan mereka menggunakan nama Allah dengan cara yang menyimpang (batil).

7 – Maka dengan ini, pihak berkuasa dari kalangan pemerintah umat Islam (di dalam negara Islam) atau mereka yang ber-autoriti, perlulah mengambil penting perkara ini dan melarang pihak-pihak tertentu yang mempermain-mainkan (atau mempergunakan) nama Allah bagi tujuan menjaga keharmonian dan kelangsungan umat Islam. Pihak selain umat Islam seperti kumpulan kristian atau orang-orang kafir lainnya tidaklah wajar mempergunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan dakwah mereka. Dan mereka tidak berhak untuk mendakwahkan kepercayaan mereka secara umum sama ada kepada umat Islam atau masyarakat lainnya di dalam wilayah Islam khususnya.

8 – Pihak yang berkelayakan dari kalangan ilmuan dari umat Islam hendaklah memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada masyarakat secara umum sama ada kepada umat Islam itu sendiri mahu pun orang kafir lainnya. Para ilmuan hendaklah memberi penekanan khususnya kepada umat Islam berkenaan persoalan pentingnya penerapan kefahaman aqidah yang benar. Dan hendaklah para ilmuan tidak membiarkan umat Islam meremehkan persoalan asas-asas aqidah sehingga mereka mudah termakan dengan kepelbagaian bentuk dakyah orang-orang kafir seperti kristian (atau selainnya).

Rujukan:

1 – Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Terbitan/terjemahan: Pustaka at-Tibyan.

2 – Kitab Tauhid, Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, Terbitan/terjemahan: Pustaka Darul Haq.

3 – Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan/terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir.

4 – Rakaman Kuliah (MP3) Ust. Rasul Dahri.

5 – Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama dan Sifat Allah), Link: http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/12/090-ringkasan-kaedah-kaedah-penting.html


0 komentar:

Post a Comment

sila la comment..jangan malu jangan segan..because sharing is caring..and caring is for ALLAH..:)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More